Pages

Thursday, February 22, 2018

Cubaan menanam nanas madu dari jambul.

Assalamu'alaikum.

Cubaan menanam nanas madu dari jambul.


Cuti raya cina hari tu, kakak aku ada bawa balik dua biji buah nanas yang ditanam di sekitar pejabatnya. Katanya, itu adalah nanas madu. Buah nanas tu kecil je. Besarnya lebih kurang sebesar tapak tangan tapi rasanya memang manis.


Akupun, ambil la jambul nanas tu dan cuba la tanam. Memandangkan aku belum sempat nak sediakan tempat untuk tanam jambul nanas ni, maka aku tanam untuk sementara waktu di dalam botol minyak masak terpakai ni. Nanti kalau dah stabil dan berakar, barulah aku alihkan ke tanah ataupun tanam sahaja dalam pasu sebagaimana aku tanam kobis bulat aku tu.





Aku kalau nak tanam apa-apa pokok, aku akan siram dahulu tanah tu. Lepas tu, barulah aku buat lubang dan masukkan pokok. Kemudian, aku padat-padatkan tanah pada bahagian pangkal pokok tu dan tak payah siram dah sebab kalau siram, nanti kedudukan pokok tu akan berubah. Jika nak siram jugak, kena padat-padatkan balik semula tanah kat pangkal pokok tu sebab takut nanti pokok tu bergoyang dan akar pokok tak dapat nak 'ikat' tanah tu. 


Kalau tanam pokok dari polybag, tak payah siram dulu tanah dalam lubang sebab tanah dalam polybag tu dah kuat dah ikat akar pokok. Dah tanam, baru siram.






Dan ini pula perkembangan terkini pokok nanas yang dah lebih dua tahun aku tanam. Buahnya dah semakin membesar. Alhamdulillah. Seronok tengok perkembangan nanas ni. Atas nasihat kakak aku, akupun balut la buah nanas ni untuk elakkan dimakan dek tupai atau kena cucuk dek lalat buah. Ini bukan nanas jenis MD2. Akupun tak tahu nanas ni jenis apa tapi jika ikutkan daripada buah yang dulu, buahnya memang jenis besar gedabak. Yang inipun aku tanam dari jambul.







Pokok nanas yang di bawah ini pulak, baru dua hari lepas aku tengok dah mula menampakkan buahnya. Lagi bergandalah keseronokan aku sebab pokok yang ini jugak dah lebih dari dua tahun Omak aku tanam. Yang ini tanam di belakang rumah. Kawasan agak terlindung sebab banyak pokok besar kat situ. 




Tak perasan sebenarnya masa bila buah nanas tu keluar. Tengok-tengok, nampak merah je kat pucuk tu. Terus la aku jenguk. Haha. Pengalaman pertama kali nanas kat atas tu berbuah, aku nampak pucuknya berwarna merah. Tu yang aku dapat rasakan yang pokok nanas yang ini dah berbuah. Alhamdulillah.


Hai awak! Selamat datang ke dunia. Moga awak kuat untuk meneruskan hidup. Heh.


p/s: Tengok orang tanam nanas, akupun nak tanam nanas jugak walaupun tahu nanas ni memang makan masa yang lama untuk mengeluarkan buahnya.
.