Pages

Thursday, June 7, 2012

BIARKAN HIDUP MEREKA TIDAK KARUAN.. (Republish..)

Assalamualaikum....

Biarkan hidup mereka tidak karuan.. (Republish..)


Bila melihat orang yang suka bersendirian, tak ambil tahu hal orang, kalau kita tak berasa kasihan kononnya dia tidak ada kawan, kita akan membuat tanggapan dia kera sumbang. Ke mana-mana seorang, makan seorang, minum sendirian, dia punya dunia tersendiri.


Pernahkah kita terfikir mungkin itu memang yang diingini, memang perkara itu yang membahagiakannya, tak perlu pening-pening kepala nak melayan kerenah manusia di sekeliling, jauh sekali berada dalam lingkungan manusia yang suka mengkhianati.


Memang hidup memerlukan keluarga juga teman, tapi adakah hidup akan menjadi lebih sempurna jika mereka yang di sekeliling ini tidak berfungsi seperti yang sewajarnya? Tegur menegur, menasihati memang perlu apatah lagi mendorong dan menyokong. Tapi berapa ramai yang sanggup berbuat demikian untuk kita? Kalau kita fikir anggota keluarga tidak akan mengkhianati, kita salah. Kalau kita ingat rakan , teman, sahabat baik tidak akan mengkhianati, kita silap, silap besar!!! Sesiapa saja, tidak kira siapa mampu mengkhianati dan melukakan hati kita. Khianat mengkhianati bukan perkara luar biasa. Ia menu lazim, resepi utama sebuah kehidupan...


Sakit bila dikhianati, tidak kira bagaimana juga caranya. Ada cara kasar, terang-terangan, tetapi lebih sakit lagi bila dilakukan secara halus, penuh berkias. 'Membunuh' dengan senyuman, 'meracun' dalam terang. Lebih perit jika yang membuat onar itu orang yang paling rapat dengan kita. Mungkin benar kata-kata.., rakan paling baik adalah musuh paling ketat. Dia yang tahu segala kelemahan kita, satu hari akan menjadi 'pembunuh' paling kejam. Setuju??


Teringat dialog dalam sebuah drama penyiasatan bersiri CSI., .'saya memilih untuk hidup bersendirian, tidak mahu bercampur dengan orang kerana tidak mahu dilukai.'


Bila difikir-fikir ada benarnya kata-kata itu. Penat sebenarnya melayan kerenah manusia yang sering tak tentu hala. Tak faham kenapa ada dengki mendengki, cemburu tak tentu pasal dan tak habis-habis hendak menyakitkan hati. Macam seronok sangatlah buat perangai macam tu, entah apa faedahnya pun tak pasti.


Bagi saya, apabila kita berkelakuan begini, sentiasa fikir untuk menyusahkan orang lain, hidup kita yang akan sentiasa tidak karuan. Tak percaya?? Cuba lihat siapa saja di sekeliling kita, terutama mereka yang terkenal sebagai si hati busuk, bagaimana kehidupan mereka?? Kelam kabut hinggakan wajahpun tampak 'busuk dan hitam', sehitam dan sebusuk hatinya!!


Biarkanlah mereka dengan hidup yang tidak keruan. Kalau sudah ditegur, 'diajar'.., begitu juga hasilnya, biarlah, jangan buang masa, jangan membazirkan tenaga. Hendak menutup mulut mereka dan mengubah sikap buruk yang sudah menjadi darah daging, mungkin sukar. Jalan paling mudah, jauhkan diri daripada mereka. Itu penyelesaian terbaik. Tidak rugipun jika tidak berkawan dengan orang begini.


Hendak kata terkilan, memanglah terkilan. Kita sayangkan persaudaraan, kita hargai persahabatan dan keakraban yang terjalin tapi apa gunanya kalau kita saja yang beranggapan begitu. Ibarat cinta bertepuk sebelah tangan, lebih baik kita angkat kaki, jalan, undur diri.


Bukan memutuskan silaturrahim, jauh sekali bermusuh tetapi berwaspada. Kalau bertembung, terjumpa, dia tegur, kita tegur. Kalau dia tidak tegurpun, kita tetap menyapa dan doakanlah supaya dia menemui 'cahaya'. Tetapi, setakat itu sajalah sebab apa yang paling penting, kita harus menghormati, menyayangi dan menghargai diri kita sendiri terlebih dulu.


Copy and paste ~ 12 January 2009 ~


Hidup hanyalah satu persinggahan. Usahlah kita menjadi seperti api di dalam sekam ataupun umpama gunting di dalam lipatan. Tidakkah kita wajar mengikut contoh aur dan tebing yang saling memerlukan?


p/s: Cry. Forgive. Learn. Move on. Let your tears water the seeds of your future happiness - Steve Maraboli