Ayatul Kursi..


ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) - al-Baqarah: Ayat 255

Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

DAH 100 DAH: TERIMA KASIH FOLLOWERS.. :-)

Assalamualaikum...

Huhuhu... Terharu ni... Sangat-sangat terharu okay.. Ni bukannya terharu sebab baju ada yang belum siap lagi tau. Tapi terharu sebab pengikut blog aku dah mencapai 100 followers. Yeahhh.. sila-sila beri tepukan yang paling gemuruh ya.. Lebih kuat dari tepukan lagu gemuruh Faizal Tahir tu tau... hikk...

First of all... ceewwahhh.. tetiba je kan... haha...

Pertama sekali aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada SEMUA yang mengikuti blog aku ni. Tujuan aku bukannya nak mengumpul pengikut sebenarnya. Aku menulis sekadar untuk melepaskan apa yang terbuku di hati ni je. Di samping tu aku selitkan la sikit-sikit info yang ada manafaat. Itupun kalau ada la kan.. =))

Kawan-kawan seangkatan yang sama membina blog dengan aku dulu ramai yang dah menyepikan diri. Masing-masing dah semacam malas nak menulis lagi agaknya. Ataupun mungkin banyak benda boleh dikongsi kat Facebook dan dapat pulak respon dengan cepat... ;p

Di samping tu, aku juga ingin memohon maaf jika selama aku menulis ni, ada cerita yang menyakiti hati korang. Takde niatpun nak kenakan sesiapa. Bak kata ayat aku kat atas tu haa.. "Aku yang makan cili, kenapa engkau yang merasa pedasnya. Pelik sungguh.." Setuju tak dengan ayat tu? Sebetulnya, ayat tu aku tujukan kat diri aku sendiri dengan membawa maksud kalau aku yang buat salah, biar aku aje la yang terasa. Orang lain tak perlu nak sibuk-sibuk terasa sama. Namun apa yang berlaku sekarang ni, sejak akhir-akhir ni la kan.. orang lain yang dok kepoh, aku pulak yang terkena tempiasnya... haiisshhh... Aku paling tak suka sikap negatif macam ni... ^__^

Aku juga tak pandai nak jadi macam blogger yang lain yang bagi hadiah untuk followers mereka yang ke-50 atau ke-100 dan seterusnya. Ada blogger yang buat contest la, buat tag la, bagi award la dan macam-macam lagi dengan tujuan samada untuk menaikkan trafik blog ataupun sekadar untuk beramah mesra sesama blogger. Itu bukan cara aku. Aku pernah diberi award oleh 2/3 orang blogger tapi aku menolak untuk meletakkan award tu kat blog aku ni. Aku tak kisahpun jika tak dapat award sebab aku tak layak untuk menerima award sebegini. Isi kandungan dalam blog aku bukannya menarik, jadi tak wajar rasanya jika aku menerima award tu. Dan aku berharap janganlah ada blogger yang berkecil hati atas penolakan award tersebut. Apapun, terima kasih banyak-banyak atas keprihatinan korang tu.... *__*

Kepada semua followers blog aku, aku harap korang letak la link blog korang sekali ya. Kadang-kadang aku nak masuk blog korang tu, tapi tak tau mana satu blog korang sebab semuanya terletak dalam satu list. Macam aku, aku letakkan 3 blog aku kat dalam bloglist. So, senang sikit nak cari dan terjah mana yang berkenan... (perasan... hahaha...). NAMUN begitu, jika blog korang tu adalah di bawah pengaruh 18SX atau 18SG, baik tak payah letak link la ehh... Seram lak aku nanti... muahahahaha... teeetttttt.......

Aku kata: Okay la ehh.. Perut dah mula meragam dah ni... hikk.... Teruskan memberi sokongan sesama blogger dan teruskan la klik Nuffnang aku tu yaa... Macehh... kehkehkeh...

Monday, August 30, 2010

ALAMAK..!!! Dah nak raya ke wehhh....!!!

Assalamualaikum....

Macam mana dengan puasa korang setakat ni? Ada bagus ke? Tentu sekarang ni masing-masing dah mula sibuk buat kuih raya kann.. Mana boleh buat kuih raya awal-awal sangat. Nanti belumpun sampai 1 Syawal, kuih tu dah tengik. Silap haribulan, dah ada kulats yang jadi bahan tambahan. Kalau nak bisnes kuih tu berpanjangan, kena la jaga kualiti. Jangan pulak main pulun je, tup-tup tahun depan takde siapa dah yang nak menempah. Masa tu kalau nak menyesal dah takde guna dah. Bukan senang nak jaga nama baik ni. Betul tak?? Ngeh3....

Aku belum buat satu jenis kuihpun. Semalam main tunjuk je 2 jenis kuih iaitu kuih bangkit (untuk orang yang kuat tidur... ahakk..) dengan kuih putu kacang hijau. Mujur mak aku tak beli kerepek pisang. Kerepek pisangpun dah naik harga wehhh.. Sebungkus harga dia 14hengget. Mungkin dalam sekilo berat dia. Sekali hadap tak sampai setengah jam konpem licin tinggal plastik je. Baik beli benda lain dulu. Mana la tau kalau-kalau ada adik-badik yang dok kat Johor tu bawak balik sebonet kerepek pelbagai jenis macam tahun sudah... hinsshinsshinss...

Putu kacang hijau ni satu bekas = rm18.50.. Tahun depan aku nak mintak diskaun laa sebab tolong promotkan kat sini... ^__^..


Kakak ipar akupun dah mula sibuk buat kuih raya ni. Dia memang ambil tempahan setiap tahun. Tapi dia cuma buat 3 jenis biskut je iaitu biskut tart nenas, biskut almond london dan biskut bubble rice. Kalau dicampur-campurkan tempahan yang dia dapat tu, mau cecah dekat 10 ribu bijik gak. Buat masa ni dia buat sorang-sorang je. Mungkin minggu depan, dia dibantu oleh anak dia yang dah mula cuti sekolah. Lagi 2-3 hari sebelum raya, dia sibuk buat tapai pulut lak. Memang laris la tapai pulut yang dia buat tu. Cuma kat sini susah sikit nak dapatkan bekalan beras pulut tu. Ragi dengan beras pulut dia kena tempah awal-awal dari peniaga kat pekan sari tu haa, imported from Kelantan. Siapa nak tempah tapai pulut untuk raya haji nanti boleh la bagitau aku ehh.. Tempahan hanya terbuka untuk 100pcs ke atas sahaja dan untuk kawasan yang berdekatan sini je iaitu area Raub, Lipis dan Bentong. Nak ambil tempahan jauh-jauh tu susah jugak sebab masalah penghantaran yang macam tak berbaloi je nanti... ^__^..


Kuih bangkit satu bekas besar ni 14 hengget. Berbaloi tak..?? Okay la untuk orang yang suka tidur je kann. Bangun tidur je terus tunjuk ke langit... ahakkss...


Aku bercadang nak buat biskut coklat chip lepas habis menjahit ni. Memang aku dah rancang awal-awal dah nak buat sejenis biskut. Sebab tu la aku tak ambil banyak tempahan raya ni. Dapat duit tambahan sikit tu pun jadi la. Kang kalau dapat banyak, banyak lak tangan yang menadah kat rumah ni. Betul tak? Muahahahahaha.... TAPI... disebabkan dugaan demam yang melanda aku hari tu, pastu mak aku pulak tak berapa sihat... banyak kerja jahitan yang tertunggak. Sepatutnya dah hampir siap dah semua tempahan tu. Sekarang hanya tinggal seminggu lebih je lagi masa yang aku ada untuk menyiapkan 4 pasang baju kurung dan 4 pasang baju melayu.. Huwaaa..... nampak gayanya tak buat la coklat chip aku tu... T__T

Aku siap kirim kat kakak ipar beli benda ni kat Sg. Buloh masa dia pergi KL hari tu...


Aku kata: Jangan sibuk dok buat bisnes kuih raya je. Zakat fitrah dah bayar ke belum? Kang tak berkat lak meniaga kuih raya tu. Bayar la cepat sikit yaa... Aku dah bayar dah... =)

Thursday, August 26, 2010

Sejarah Nuzul Al-Quran

Assalamualaikum...

Selamat menyambut hari Nuzul al-Quran untuk kita semua, umat Islam di seluruh dunia. Aku bukanlah orang yang arif mengenai hal sebegini. Namun begitu, marilah sama-sama kita menghayati rentetan peristiwa yang berlaku sehingga tercetusnya hari Nuzul Qur'an ini... Sudi-sudikanlah jari mengklik link kat bawah ni ya dan semoga kita mendapat sedikit ilmu daripadanya... Insyaallah...




Juga klik di sini:




Aku kata: Sesungguhnya hambaMu ini terlalu daif ya Allah...

Friday, August 20, 2010

LELAKI DAN JAM TANGAN

Assalamualaikum...

KALAU mahu mengenal lelaki, lihatlah jam yang dipakainya. Lelaki cenderung mempunyai selera jam tangan yang berbeza. Selain sebagai penunjuk waktu, jam tangan juga boleh menggambarkan perwatakan pemakainya. Benarkah begitu? Mari kita lihat kebenarannya.

Jam tidak berangka:
~> Model jam tangan berjarum tanpa angka menggambarkan pemakainya sangat teliti dalam merumuskan konsep tetapi tidak ingin semua perkara dihuraikan secara langsung. Lelaki dengan jam tangan ini lebih suka cabaran bersifat intelektual. Mereka juga tidak mudah putus asa dalam menyelesaikan masalah walaupun orang lain sudah menyerah kalah. Dalam aspek hubungan, lelaki jenis ini tidak akan berlarut-larut untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Jam LCD:
~> Si pemakai jam tangan jenis ini biasanya penuh keyakinan dan tidak pandai dalam perkara yang terlalu abstrak. Dia berperwatakan ringkas dan tidak suka berkias-kias. Apabila ingin mendampinginya, janganlah bermadah-madah. Dia tidak akan faham!

Jam berwarna keemasan:
~> Lelaki yang suka memakai jam tangan jenis ini sanggup mengorbankan kemewahan singkat untuk mengejar kesenangan jangka panjang. Mereka selalunya cenderung ke arah konvensional, bergaya lama tetapi sabar dan berfikir panjang. Dia pandai menjaga perasaan dan selalu berusaha untuk menggembirakan pasangannya.

Jam model putar:
~> Lelaki ini mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan suka kebebasan. Dia lebih gemar mengatasi masalahnya sendiri berbanding mengharapkan bantuan orang lain. Mereka juga selalu ringan tangan untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti memotong rumput, mengecat dan membetulkan paip bocor. Pemakai jam tangan jenis ini selalu melindungi apa yang menjadi miliknya.

Jam tangan saku:
~> Mereka yang ada jam tangan seperti ini memang jarang kelihatan. Dia jenis lelaki yang tidak suka hidupnya diatur oleh waktu. Walaupun sibuk, dia tahu bagaimana cara untuk bersantai. Lelaki seperti ini selalunya suka menyimpan benda-benda yang menyimpan kenangan. Jadi, jangan terkejut jika dia masih menyimpan SMS pertamanya kepada anda. Dia juga selalunya tidak terburu-buru termasuk dalam urusan cinta.

Tidak pakai jam:
~> Lelaki jenis ini suka kebebasan dan individualistik. Tetapi pada zaman internet ini, lelaki yang tidak memakai jam tangan menandakan dia masih muda. Orang muda melihat waktu dari telefon bimbitnya. Bagi mereka, memakai jam tangan adalah gaya orang tua.


Nota: Sumber dari akhbar Utusan Malaysia, Khamis 10 Ogos 2010.


Aku kata: Jam tangan aku jenis tidak berangka dari jenama Citizen. Dah lebih 10 tahun aku pakai jam tu. Kenapa pilih Citizen? Kerana hitam itu menawan... (tagline Citizen). Apa pulak tagline jam korang??

Thursday, August 19, 2010

TERBAIK WOKKKK...!!!

Assalamualaikum...

Blackout lagi. Naik jelak dah dengan benda macam ni. Tapi nak jugak bagitau walaupun dah selalu sangat berlaku. Sebab apa..? Sebab aku dah geram tahap gaban dah dengan TNB kawasan aku ni. Dalam minggu ni, setiap hari ada je bekalan letrik terputus. Malam kelmarin misalnya, tengah-tengah mengadap juadah berbuka puasa, letrik dah padam sekali. Pastu hidup balik. Pastu padam lagi. Hidup balik. Begitulah seterusnya sehingga padam kali kelima dan tak hidup-hidup dah. Lebih kurang empat jam lepas tu baru bekalan pulih kembali. Dan siang tadi berlaku lagi sekali. Apa la masalahnya ehh. Takkan la takde usaha untuk mempertingkatkan kualiti. Kalau selalu sangat macam ni (memang selalupun), cepat la jahanam barang-barang letrik kat rumah aku ni. TNB nak ganti ke semua barang-barang yang rosak tu nanti? Memang TERBAIK laa perkhidmatan korang setakat ni... pheeewwww....!

Terbaik dari TNB.. Duduk dalam gelap mengadap lilin sambil mengipas hati yang panas... :-)


Terbaik dari laman. Pokoknya dahpun kena buang gara-gara nak cat semula tembok tempat dia menjalar... Sengaja tunjukkan raga yang cacat tu... ;p



Terbaik dari kebun belakang rumah. Yang tak baiknya sebelum aku makan rambutan ni, aku kena gigit dengan semut api dulu.... :(


Terbaik hasil tanaman dari tangan mak aku. Gumbira sungguh tatkala beliau memetiknya... =D


Terbaik dari ladang ternakan aku.... ha...ha...ha...ha...


Aku kata: Aku dah tak tau nak makan apa masa berbuka dan masa sahur. Selera dah mula menurun. Harap-harap dapat la turun berat badan dalam sekilo dua... Berangan aje la kerojenya yaa... =))

Wednesday, August 18, 2010

SHARING: Is caring maaa...

Assalamualaikum...

Sekadar nak kongsi info yang aku ambil dari suratkhabar Utusan. Ya la kan, kadang-kadang kita ni beli bermacam-macam jenis suratkhabar tapi bukan semua muka surat yang kita belek dan baca bergantung kepada minat masing-masing yang menjurus ke arah mana. Kalau peminat bola, dah tentu la dia cari berita berkaitan dunia bola. Kalau minat gossip, konpem la dia akan cari kat murai.com ataupun forum.cari... Kalau yang minat memasak, mestilah dia cari ruangan yang berkaitan dengan resepi dan tips dalam memantapkan lagi skill masakan dia. Kalau ada yang minat kat aku, cari aje aku kat sini... Alamak...!!! Terlebih sudaaa... hahahaha...

Ni info berkaitan hari yang dilarang atau haram berpuasa. Orang kita ni ada yang malas puasa dan ada juga yang terlebih rajin puasa tanpa menyedari ada hari-hari tertentu yang tidak sepatutnya berpuasa tu. Antara hari yang haram atau dilarang berpuasa itu adalah:

1) Puasa pada hari Syak yakni pada hari 30 Syaaban.

2) Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri yakni pada 1 Syawal.

3) Puasa pada Hari Raya Aidil Adha yakni pada 10 Zulhijjah.

4) Puasa pada hari-hari Tasyrik yakni pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

5) Puasa ketika haid dan nifas bagi orang perempuan.

6) Puasa SUNAT bagi seorang perempuan yang sudah bersuami tanpa mendapat izin suaminya.

7) Orang yang bimbang berlakunya mudarat ke atas dirinya jika berpuasa (aku kurang faham yang ni, ada sesiapa boleh jelaskan tak...? Yang aku tahu selalunya ayat ni ditujukan kepada ibu yang mengandung atau sedang menyusukan anak).

8) Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT.


Aku kata: Aku kesian tengok orang-orang yang jadi mangsa amukan suami sendiri. Aku cadangkan la, kalau isteri tu dah tau perangai suami tu suka mengamuk secara berterusan sejak di awal perkahwinan, relakan la diri anda jadi ibu tunggal. Kalau hanya si ibu yang jadi mangsa, mungkin dia boleh tahan sabar lagi. Tapi bagaimana jika anak-anak terbabit sama macam kes simbah asid dan tetak anak isteri baru-baru ni. Nauzubillah, gerun aku melihat kekejaman suami di zaman ini. Moga kita semua mendapat perlindungan Allah dari segala kekejaman.... baik mental mahupun fizikal...

Renungan bersama...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki mahupun wanita, sebahagian daripada mereka adalah penolong dari sebahagian yang lain. Mereka menyuruh amal ma'aruf (kebajikan), mencegah kemungkaran, menegakkan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah berserta RasulNya, nescaya Allah melimpahkan rahmat kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Bijaksana."- (At-Taubah: Ayat 71)