Ayatul Kursi..


ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) - al-Baqarah: Ayat 255

Search This Blog

Wednesday, June 22, 2016

Tolong doakan saya ya.

Assalamu'alaikum.

Tolong doakan saya ya.


Sekarang ni saya tak sihat. Kaki kanan saya sakit sangat. Tak tau kenapa tapi sakitnya itu membuatkan saya terlantar sahaja di atas tilam. Saya tak boleh nak bergerak bebas seperti selalu. Jika berjalanpun, untuk ke bilik air dan tandas sahaja. Itupun terhencot-hencot dan menahan kesakitan. Kerja jahit-menjahit sayapun terbengkalai tidak bergerak. 


Jadinya, dengan rasa rendah diri, saya mohon agar sudi kiranya kawan-kawan blogger atau pengunjung blog ini mendoakan kesembuhan saya. Kesudian anda semua mendoakan kesembuhan saya ini, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Moga Allah sahaja yang membalas segala kebaikan atas doa kalian.


Dan saya juga memohon ampun dan maaf sekiranya ada kesalahan atau kekasaran tutur bahasa saya sepanjang menjadi blogger ini. Sesungguhnya saya juga seperti insan yang lain yang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan serta kekhilafan sesama manusia. Maafkan saya sekali lagi.


p/s: Salam ramadhan untuk semua. Moga ramadhan kali ini membawa seribu nikmat, rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan untuk kita semua. Aamiin.

Tuesday, June 21, 2016

Masak siakap masam manis versi aku.

Assalamu'alaikum.

Masak siakap masam manis versi aku.

Alhamdulillah. Pertama kali aku masak sos untuk siakap masam manis ni. Ada yang panggil siakap tiga rasa dan ada jugak yang panggil siakap sweet sour. Ikut la nak panggil apa. Aku tak tau la apa rasanya. Sos versi aku ni, aku main hentam je buat. Ahaha. 



Ikan siakap ni seekor tak sampaipun sekilo. Masa aku beli hari tu, sekilo RM12.99. Masa tu harga promosi sebab sebelum ni aku pernah beli ikan siakap ni yang harga dia sekilo RM17. Ikan tu aku kerat sebab nanti senang boleh ambil seketul atau sebelah. Takde la nanti ikan tu bersememeh bekas kena cubit dek jari yang kelaparan. Kehkehkeh. 


 Ikan siakap ni aku lumurkan/gaulkan sekejap dengan pati kiub Knorr. Tapi gambar ni aku belum lumurkan lagi ikan tu.


 2 biji tomato dipotong dadu dan 2 batang serai yang dititik. Lepas tu, bahan kisarnya pula adalah 2 labu bawang besar, 10 biji cili padi, seinci halia dan 5 ulas bawang putih. Tepung jagung tu untuk lumurkan ikan siakap tu nanti.


 2 sudu makan sos tiram, 4 sudu makan sos cili dan 4 sudu makan sos cili Thai.


 2 batang carrot saiz kecil dipotong memanjang.


 Ikan siakap yang sudah dilumurkan dengan pati kiub Knorr tadi, gaulkan pula dengan tepung jagung. Nak goreng baru gaul. Jangan gaul siap-siap ikan tu sebab takut nanti tepung jagung tu lembap dan akan serap minyak masa menggoreng.


 Kemudian, terus je gorengkan ikan siakap tadi. Aku goreng macam biasa. Takde nak guna minyak yang banyak sebab tak nak ada pembaziran minyak.


 Beginilah rupanya ikan siakap yang sudah digoreng tadi. Ketepikan.



Untuk buat sos masam manis ni, mula-mula aku tumiskan bahan kisar tadi. Apabila sudah naik bau, aku masukkan serai. Kacau-kacau dalam dua tiga minit, lepas tu aku masukkan semua jenis sos tadi dan masukkan juga dua sudu makan gula pasir. Masukkan sedikit air. Biarkan mendidih seketika. Lepas tu, masukkan pula tomato. Kacau sebati dan biarkan mendidih. Kemudian, masukkan pula carrot dan kacau lagi. Jika kuah agak pekat, boleh tambahkan sedikit air lagi. Biarkan mendidih sekali lagi dan masukkan garam. Kacau rata dan biarkan sekejap dalam tiga empat minit. Lepas tu, boleh la tutup api dapur.


Dah siap dah sos masam manis aku.


Sos tu siapa nak curah, curah dalam pinggan sendiri. Aku tak nak tuang sos tu siap-siap sebab aku tak suka nanti isi ikan siakap tu kembang semacam je. 


Aku tanya abang aku, okay ke rasa sos tu? Dia kata,  okay je. Abang aku tu sokmo okay je pada tekak dia. Hahaha.


p/s: Masak sendiri memang menjimatkan. Agak-agaknya, kalau beli ikan siakap masam manis ni yang dah siap masak, berapa ya harga dia? Aku memang tak tau sebab aku memang tak pernah beli lauk siap macam ni.

Thursday, June 16, 2016

2016 Reading Challenge Completed!

Assalamu'alaikum.

2016 Reading Challenge Completed!


Akhirnya, berjaya jugak aku mencabar diri sendiri dalam reading challenge kat Goodreads ni. Aku memang tak berani nak letak target yang tinggi sebab pada akhir tahun lepas, mood aku untuk membaca jatuh merudum gara-gara kecewa dengan novel yang entah apa-apa. Dan aku juga jadi semakin serik untuk membeli novel baru. 




Akan tetapi, selepas aku dikenalkan dengan bacaan e-book oleh beberapa orang kawan di Goodreads/GR tu, secara tiba-tiba laju je aku membaca. Maklum la, baca buku free, siapa yang tak nak, kan? Terima kasih sangat-sangat pada kawan-kawan GR yang sangat membantu dalam menjimatkan bajet aku ni. Heh.






Buku yang ada kat atas ni bukan semuanya buku free. Ada jugak buku yang aku beli dan jadikan koleksi peribadi. Ada juga buku free tu yang tak menarik jalan ceritanya dan begitu jugak sebaliknya dengan buku yang dibeli. Untungnya baca buku free ni, jika kita rasa bosan dengan cerita yang entah apa-apa, boleh je terus pulangkan sedangkan buku beli ni, nak tak nak terpaksalah kita simpan selagi takde yang nak beli secara preloved. Dah rugi kat situ. 


p/s: Harap-harap lepas ni PNM boleh la letak banyak lagi buku baru atau buku terkini kat rak buku mereka. Nanti senang la aku nak pinjam. Heh.

Friday, June 10, 2016

Bertimbang rasa la sikit!

Assalamu'alaikum.

Bertimbang rasa la sikit!


Hari Rabu hari tu, dalam perjalanan ke bandar, terserempak la dengan lima enam buah lori balak yang muatannya melebih-lebih macam dalam gambar kat bawah ni. 


Risau sungguh kalau ikut belakang lori balak ni. Nak memotong, lori tu dah makan jalan. Tak potong, mana nak tahan asyik nak ekor dia je. Walaupun jalan raya tu nampak macam lengang tapi kita mana nak tau apa yang ada kat depan sana tu, kan?





Yang buat aku ralat, lori balak tu dah la makan jalan, lepas tu tak nak pulak tu bagi kerjasama. Cuba la bagi signal kat orang belakang ni samada boleh memotong ataupun tidak. Nampak sangat pemandu lori balak ni jenis yang pentingkan diri sendiri.





Ramai je aku jumpa pemandu lori yang berhemah, siap bagi laluan untuk kita potong dia dan aku salute dengan sikap pemandu lori yang sebegini. 


p/s: Mentang-mentang la badan kau besar, suka hati kau je kan nak conquer jalan tu. Macam la kau sorang je yang bayar roadtax setiap tahun.

Wednesday, June 8, 2016

Cara nak buat cuff untuk blouse, jubah atau baju kurung.

Assalamu'alaikum.

Cara nak buat cuff untuk blouse, jubah atau baju kurung.


Dah lama sangat rasanya aku tak buat entri berkaitan tutorial jahitan kat blog aku ni, kan? Jadi, kali ni aku nak kongsikan cara aku buat cuff untuk blouse, jubah ataupun untuk baju kurung. Aku sebenarnya tak suka cuff jenis bergetah tu sebab nanti aku rasa rimas. Cuff jenis macam tu senang sikit nak buat jika nak dibandingkan dengan cuff yang aku buat ni. 


Cuff yang aku buat ni jenis yang bertindih jika dibutangkan. Jadinya, kena ukur keliling pergelangan tangan. Masukkan satu jari ke dalam pita pengukur, lepas tu baru ambil ukuran keliling pergelangan tangan tu. Kemudian tambahkan dua inci untuk butang dan lubang butang yang akan bertindih nanti. Contohnya, ukuran keliling pergelangan tangan aku adalah 7 inci dan kertas gam yang aku kena potong adalah 9 inci.


Macam biasa, rujuk pada gambar yang aku sediakan dan gambar yang ada memang sangat banyak. Bertabah la ya jika line internet korang terlampau lemau. 


Gunakan pembaris lurus ni untuk dapatkan lebar cuff. Lebar pembaris ni 1 1/4 inci. Panjang cuff adalah 9 inci. Jadi, potong je 9 inci. Gunakan aje lebihan kertas gam yang ada. Boleh je sambung-sambung kertas gam tu jika ukuran tak mencukupi. Ni guna kertas gam yang paling nipis.
v



 Letakkan kertas gam tadi atas lebihan kain dengan mengikut ira kain iaitu ira memanjang.



^
Lipat dua kain tadi. Penitikan dan potong. Kalau kain tak cukup lebar untuk lipat dua, boleh je gunakan dua bahagian kain yang dah siap berpotong. Basi jahitan adalah 1/2 inci.
v



 ^
Gosok bagi kemas dan jahit kiri, kanan dan atas. Jangan jahit bahagian yang bawah tu sebab yang itu nanti kita nak sambungkan pada hujung lengan baju.
v



 ^
Gunting bahagian sudut tu supaya nanti bahagian tu tak tebal. Lepas tu, racik atau snip bahagian atas jahitan tadi.
v



 Jolok perlahan-lahan kat sudut tu dari dalam supaya sudut tu jadi bersegi.



 ^
Kena rajin menggosok. Mula-mula gosok bahagian muncung ni dulu. Lepas tu, gosok bahagian luar pulak. Maknanya, setiap yang berjahit, perlu digosok.
v



Gosok lagi bagi kemas.



 Buat lipatan atau kedutan pada hujung lengan baju mengikut panjang saiz cuff. Macam aku punya ni 9 inci. Ikut la nak ejas macam mana dia punya lebar lipatan/kedutan tu asalkan tidak kurang atau lebih dari panjang cuff. 



 Kemudian, jahit perlahan-lahan.



 Penitikan bahagian yang takde kertas gam dengan hujung lengan baju.



 ^
Jahitkan cuff bermula dari tepi. Jahit bahagian cuff yang takde kertas gam tu dulu.
v



 Beginilah rupa cuff yang sudah dijahit pada hujung lengan baju. Pastikan bahagian yang ada kertas gam tu berada di luar.



 Sebelum teruskan menjahit, ukur dulu bahagian kiri dan kanan cuff supaya sama lebar.



 Penitikan cuff.



 Sambil jahit, sambil kemaskan dengan tolak-tolak kain bahagian dalam tu dengan gunting kecil supaya lebar cuff sekata.



 ^
Dah siap dah cuff-nya. Takde la cantik/kemas sangat cuff yang aku jahit ni. Korang boleh buat lagi cantik dari ini. Nanti, boleh la buat lubang butang dan jahit butang. Jarak untuk letak butang anggaran 1/2 inci dari tepi. Begitu jugak dengan jarak untuk jahit lubang butang. Manakala panjang untuk lubang butang tu anggaran satu inci, bergantung pada saiz butang yang kita akan gunakan nanti.
v



p/s: Selamat mencuba dan semoga berjaya!

Tuesday, June 7, 2016

Koleksi biskut raya dari internet.

Assalamu'alaikum.

Koleksi biskut raya dari internet.


Masa ni, pasti ramai di antara kita yang rajin salin atau save segala resepi biskut raya yang ada dalam internet samada dalam facebook atau google. Akupun tidak terkecuali. Ahaha. 


Berikut adalah beberapa resepi biskut raya yang telah aku save dalam laptop. Nanti ada masa, boleh la cuba. Itupun jika rajin la. Heh.









p/s: Jika tak mampu nak buat semua, buat satu jenispun jadi la, kan? Jangan tak buat langsung dah la. Ahahaha.

Cara nak buat masak lemak cili padi cendawan terkukur.

Assalamu'alaikum.

Cara nak buat masak lemak cili padi cendawan terkukur.


Sebenarnya, entri ini dah agak lama terpendam dalam draft. Tapi disebabkan semalam aku buat lagi masak lemak cili padi cendawan terkukur ni, maka aku rajinkan jari untuk sambung balik entri ni. Lagipun, blog aku dah makin lama makin bersawang. Sebelum blog aku jadi hutan belantara, baiklah aku update je apa-apa cerita. Boleh gitu? Ahaha.


Okay la ya. Kita tengok gambar dulu. Nanti kat bawah gambar tu aku terangkan apa yang aku buat. Ni bahan-bahan yang diperlukan untuk buat masak lemak cili padi cendawan terkukur. Sepatutnya ada ikan bilis tapi gambar ikan bilis tu takde la pulak. 


 Ni stok cendawan terkukur mak aku. Mak aku memang suka beli cendawan terkukur ni.


 Ni cili padi yang aku tanam sendiri. Kisar cili padi ni dengan kunyit hidup. Tapi kalau takde kunyit hidup, boleh je gantikan dengan kunyit serbuk. Aku guna kunyit serbuk je. Sebab tu kunyit hidup takde dalam gambar. Haha.


 ^
Perah kelapa dan ambil santannya. Aku gunakan dua biji kelapa. Maklum la, kelapa tak payah beli. Heh.
v


Okay, sekarang masuk bab cara nak masak cendawan terkukur ni pulak. Mula-mula rendam dahulu cendawan terkukur tu. Apabila cendawan terkukur tu dah kembang, masukkan sedikit garam kasar dan ramas-ramas cendawan bersama garam kasar tadi. Lepas tu, biarkan sekejap dalam sepuluh minit. Kemudian, masukkan cendawan terkukur tadi ke dalam tapisan. Lalukan di bawah air paip sambil ramas-ramas untuk bagi cendawan tu bersih. Cendawan terkukur yang direndam, air rendamannya nanti nampak hitam je. Jadi, kita kenalah pastikan yang cendawan tadi benar-benar bersih dari segala kekotoran. (Maaf, aku terlupa nak ambil gambar)


Lepas dah bersihkan, masukkan cendawan terkukur bersama bahan tumbuk iaitu cili padi, kunyit hidup dan ikan bilis ke dalam periuk. Masukkan juga dua batang serai yang dititik. Masukkan juga sedikit air. Jika cili padi tu kita blend, tak payah masukkan air. Ikan bilis tu jika kita tak nak tumbukpun takpe. Ikan bilis tu kita tumbuk untuk dapatkan rasa yang lebih sedap. Ni kita namakan sebagai proses pengecutan.


^
Lepas proses pengecutan tadi, anggaran dalam masa lima hingga sepuluh minit, atau apabila air dah hampir kering, kita masukkan pula santan. Masa ni kena jaga. Jangan sampai santan tu pecah minyak. Nanti kuah tak cantik. Makanya, kenalah rajin kacau. Apabila dah mendidih, masukkan garam kasar dan biarkan lagi mendidih. Kena masak lama sikit cendawan terkukur ni. Kalau tak, takut nanti liat pulak nak gigit.
v

Beginilah rupanya masak lemak cili padi cendawan terkukur yang sudah siap dimasak.



Masak lemak cendawan terkukur aku ni terpedas sikit. Mujurlah masih boleh dimakan. Kalau tak, jenuh la nak kena letak pati santan lagi. Anak-anak buahpun suka makan lauk ni rupanya. Bagus. Haha.


p/s: Sekarang ni aku tak tau berapa harga satu pot susu cendawan terkukur ni. Lagipun aku tak pernah beli. Mak aku je yang rajin beli. Stok cendawan terkukur dah habis dah. Nampak gayanya, kena jugak beli jika terjumpa kat mana-mana. Mana la tau kot teringin pulak nak makan di lain kali.

Renungan bersama...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki mahupun wanita, sebahagian daripada mereka adalah penolong dari sebahagian yang lain. Mereka menyuruh amal ma'aruf (kebajikan), mencegah kemungkaran, menegakkan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah berserta RasulNya, nescaya Allah melimpahkan rahmat kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Bijaksana."- (At-Taubah: Ayat 71)