Ayatul Kursi..


ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) - al-Baqarah: Ayat 255

Search This Blog

Wednesday, February 12, 2020

Cara terkini buat lapik leher baju kurung moden.

Assalamu'alaikum.

Cara terkini buat lapik leher baju kurung moden.

Lain orang, lain caranya. Lain tukang jahit, lain juga buatannya. Begitulah.


Aku pernah kongsikan cara aku buat lapik leher untuk baju kurung moden dan jubah. Tapi itu cara lain. Kali ni aku nak kongsikan cara lagi satu. Kalau dulu, cara lama itulah yang aku selesa tapi setelah buat cara yang terkini, aku rasa cara ini lagi memudahkan kerja. Apapun, semua itu bergantung pada jenis kain dan mood seseorang tukang jahit itu. Jika mood tengah baik, buat la cara apapun, semuanya jadi senang. Tapi jika mood tunggang-langgang, cara yang paling senang itupun jadi huru-hara. 😁😁😁


Jom la tengok gambar. Lepas tu, buatlah andaian sendiri. Orang kita ni kan memang jenis yang pandai dalam membuat andaian. Aaagittchuu...! 😉😉😉


Perkara pertama yang penting adalah kena pastikan basi jahitan pada lapik leher dan pada lubang leher tu sama. Jika sama, barulah senang nak buat kerja seterusnya. 


 Temukan bahagian luar badan baju dengan luar lapik leher. Ni untuk bahagian belakang. Jarakkan anggaran satu inci dari garisan bahu tu pada kedua bahu kiri dan kanan. Lepas tu, baru jahit.


 ^
Buat proses yang sama pada bahagian badan hadapan baju serta lapik lehernya. Dah buat macam ni, penitikan dan mulakan jahit. Jarakkan anggaran satu inci dari bahu kiri dan kanan. Jangan jahit sampai habis.
v
 Mula-mula, jahit pada garisan tengah tu dulu. Jahit macam biasa yang kita buat untuk jahit lubang leher baju kurung biasa tu. Maaf, aku terlupa nak ambil gambar bahagian itu. Dah jahit untuk tengah tu, barulah jahit untuk keliling leher tu depan dan belakang.


 ^
Bahagian yang tidak dijahit tadi.
v



 ^
Kemudian, barulah penitikan ikut garisan basi dan mulakan cantum satu persatu. Nak cantum bahu untuk badan dulupun boleh. Lepas tu, baru cantum pulak lapik leher depan dan belakang tu. 
v


^
Gosok pada bahagian yang djahit tadi. Boleh tandakan dengan pen atau kapur untuk elakkan jahitan terbabas.
v



 ^
Sebelum snip/racik/gunting, kena gosok dulu. Tujuannya supaya lepas gunting bahagian tengah tu, benang kain tidak terburas keluar.
v
Lepas snip/racik, tarik sikit bahagian keliling leher tu supaya tidak terlalu tegang.


 ^
Selepas snip/racik basi keliling leher tadi, Tindih lapik leher tu. Pastikan basi kain berada di bawah lapik leher.
v


 ^
Dah siap tindih keliling leher, gosok. Lepas tu, baru jahit tindih untuk bahagian belahan leher tu pulak. Aku jahit untuk elakkan benang kain terburai di kemudian hari.
v


 ^
Jika ada label, boleh jahit dulu label tu. Lepas tu, jelujurkan keliling leher tadi supaya senang nak menyembat atau jahit silang pangkah.
v

 ^
Okay, dah siap jelujur dah. Sampai mengantuk si Debot tu tunggu. 😹😹😹 Dia nak ajak main tapi malas nak melayan.
v

 Sibuk sangat mengacau. Kan dah mendapat. 😺😺😺 Acah je letak pembaris kat situ. 


^
Okay. Dah siap dah dua pasang baju kurung moden dan kain lipat batik. Alhamdulillah.
v


Nak lagi mudah faham, boleh tengok kat video yang dikongsikan oleh Cikgu Jeffrey Ibrahim ni. Bezanya, beliau tak potong lubang leher tu. Kan awal-awal lagi aku dah tulis, lain orang, lain caranya. Lain tukang jahit, lain juga buatannya. 😉😉😉 Apapun, terima kasih atas perkongsian video ini. Alhamdulillah. Dapat la aku buat rujukan.




p/s: Okay, siap dah satu entri. 😊😊😊
.

Friday, February 7, 2020

Kain lipat batik: Lain orang, lain caranya.

Assalamu'alaikum.


Kain lipat batik: Lain orang , lain caranya.


Iya, begitulah. Lain tukang jahit, lain caranya. Ikutlah nak buat cara manapun asalkan menjadi. Yang penting, pelanggan selesa dan tidak cakap-cakap di belakang atau membawang.


Ini cara aku buat dan jahit kain lipat batik. Kain yang aku buat, memang tak ada dart. Leceh nak buat dart semua ni. 😀😀😀






Ini pulak cara aku jahit zip pada kain. Yang ni aku rajin tukar tapak zip sebab aku tak selesa guna tapak biasa untuk jahit zip. Aku lapik dengan kadbod untuk mendapatkan garisan jahitan yang lurus dan kemas. Prinsip aku masa merempit (menjahit) adalah biar lambat asalkan selamat sebab aku paling tak suka buat kerja yang sama dua kali. Maksudnya, jika tergesa-gesa, nanti terpaksa buka balik jahitan tu sebab ada yang tersalah jahit di mana-mana.






 Turunkan 9 inci dari paras pinggang dan jahit tindih dua kali untuk elakkan kain tu terkoyak.


 Terpaksa merajinkan diri buat sendiri tali untuk gantung kain pada hanger. Lagipun guna tali macam ni lebih tahan lama daripada guna reben yang nipis tu.


Untuk bahagian atas pinggang ni, aku naikkan 3/4 inci. Tujuannya untuk mengelakkan lidah kain tu terkeluar (terjelir).





Aku masih lagi gunakan cara lama untuk masukkan getah kain dalam lapik pinggang. Aku tak reti nak guna cara terkini. Dah cuba tapi macam leceh je. Baiklah aku guna cara yang selesa pada diri aku.






Okay, dah siap dah jahit dua helai kain lipat batik ni. Alhamdulillah. Lega rasa hati. Lepas ni boleh la sambung jahit bajunya pula. Dua-dua baju kurung moden.



 ^
Yang atas ni, kain dari pandangan bahagian belakang dan yang bawah pula, pandangan dari bahagian hadapan. Ini kain batik dari tiga serangkai.
v


p/s: Raikan perbezaan cara masing-masing. Kau dengan cara kau. Aku dengan cara aku. Tak perlu nak menyinis dan mengata semata-mata untuk memenangkan cara sendiri yang akhirnya menimbulkan perbalahan. Mudah je nak hidup dengan tenang. Kan?
.

Thursday, February 6, 2020

Tinggal kenangan.

Assalamu'alaikum.

Tinggal kenangan.


Ini, anak kucing yang dibuang orang. Aku namakan dia Combi. Aku pernah letak gambar dia di page fb aku. Tekan sini.







Tapi sekarang ni Combi dah mati. Akupun dah tak ingat bila dia mati tapi tak lama lepas dia datang rumah aku. Rasanya, ada dalam tiga bulan jugak aku jaga dia. Elok je dia sihat tapi entah la, tak tahu kenapa tiba-tiba je dia mati. Dia tiba-tiba je hilang. Cari-cari dan panggil-panggil tapi takde. Dah berapa hari lepas tu, baru abang aku jumpa bangkai dia nun jauh di belakang rumah. Dia mana pernah pergi kat belakang rumah tu. Takpe la. Sekurang-kurangnya, abang aku dah tanam bangkai Combi. Entah berapa banyak dah kubur kucing kat belakang rumah aku tu. 


p/s: Semuanya hanya pinjaman belaka. Pasrah dan reda aje la.
.

Ada juga hasilnya walaupun..

Assalamu'alaikum.

Ada juga hasilnya walaupun..


Alhamdulillah. Ada juga hasilnya keledek yang aku tanam dalam pasu ni walaupun seco'et je. Jadi la tu. Boleh juga aku rebus dan makan. 😃😃😃 Berat dalam 450 gram. Jadi la tu. Ada jugak hasilnya daripada tanam lalang yang takde hasil. 😁😁😁 Cukup la untuk aku makan sorang. Rebuspun sodap...! Haha.





Ada dua pasu besar yang aku tanam keledek. Satu pasu lagi tu aku tak bongkar lagi isinya. Nanti la sehari dua lagi aku bongkar yang tu pulak. Yang aku dah bongkar ni, aku tanam balik dia punya keratan batang. Harapnya menjadi la nanti ubi keledek ni. Aku ni pun bukannya pandai sangat tanam keledek ni. Main hentam je cucuk batang dia tu.





p/s: Daripada buang masa dengan membawang, baiklah gunakan masa tu untuk tanam keledek. 😉😉😉
.

Wednesday, February 5, 2020

Cara baiki blender Panasonic yang mati tiba-tiba.

Assalamu'alaikum.

Cara baiki blender Panasonic yang mati tiba-tiba.

Ingat lagi tak pada entri aku yang ini? Ala, entri kisah blender aku yang tiba-tiba je mati tu. Ada baca tak? Ke, takde bacapun? Huhu, sodih den takdo oghang baco. 😂😂😂


Image may contain: indoor
Ini blender lama yang mula-mula rosak dan yang ini la yang aku repair. Model Panasonic MX-800S. Blender yang baharu, yang baharu rosak tu, pun model yang sama jugak.


Nak dijadikan cerita, pagi tadi, sekali lagi kejadian yang sama berlaku pada blender aku. Masa aku dok kisar bawang, dia pusing sekali je. Lepas tu, dah tak boleh pusing lagi dah. Alahai, apa masalah pulak ni? Dah la blender yang ini baru je kakak aku beli kat Segamat. Dia baru je bawak balik masa cuti raya cina hari tu. Baru je pakai dua tiga kali. Takkan dah rosak lagi? Takkan nak kena beli blender baharu lagi sekali? Mana aku nak korek duit? 


Aku cepat-cepat call abang aku yang kebetulan ada kat bandar sebab nak servis kereta. Aku suruh dia beli blender baharu. Takkan nak suruh kakak aku belikan lagi? Dah la diapun sibuk nak uruskan hal umrah dia sekeluarga hujung bulan ni. Tak nak la aku menyusahkan dia lagi walaupun aku bayar duit blender tu.


Maka, disebabkan geram sangat, akupun mulakan pencarian di Youtube. Habis la juga lima enam video dan website aku tengok. Sadisnya, semua tu dalam versi Indonesia. Orang kita yang Malaysia ni, takde ke yang buat video fasal repair blender ni? 


Akhirnya, aku berjaya membaiki blender aku tu dengan ikut tunjuk ajar dari video yang ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Jimat duit aku seratus lebih oii..! Tiga empat kali aku cuba dulu blender tu. Lepas dah puas hati, barulah aku call balik abang aku dan bagitau dia supaya jangan beli blender baharu. Tiga empat kali jugak aku remind dia. Takut la pulak kalau dia terlupa. 


Ini dia videonya. Aku repair blender yang mula-mula rosak dulu tu. Blender yang baharu rosak tu masih lagi dalam guarantee. Nanti masa raya, aku kirim kat kakak aku suruh hantar balik kat kedai yang dia beli tu.






Aku cuma bengkokkan bahagian yang aku bulatkan tu. Aku tak keluarkanpun bahagian button tu sebab susah sangat nak tarik keluar. Kang tak memasal, ada pulak bahagian yang patah. Jadi, aku cuma tolak je besi yang kat jari telunjuk tu, lepas tu, aku bengkokkan besi yang kecil tu dengan playar. Aku fokus betul-betul kat video tu. Takut jugak kalau tersalah nanti. Kang lain pulak jadinya.





Apabila dah repair, blender ni dah takde lock dah. Maksudnya, takde la kita beria-ia pusing sampai ada bunyi 'kluck' baru boleh tekan on. Yang ni, tetap kena pusing jugak, tetap ada bunyi jugak tapi dia takde la lock kuat sangat. Tak kisah la ada lock ataupun tidak. Yang penting, blender yang rosak tu dah boleh berfungsi balik semula. Leganya la haiihhh... Alhamdulillah sangat-sangat. Terima kasih Allah kerana memberikan aku kekuatan untuk berani mencuba. Sebabnya, aku ni kalau bab barang letrik, memang la penakut ya amat tapi disebabkan dah terdesak, maka akupun beranikan diri. Haha.


Cuma, aku nak pesan satu je. Disebabkan selepas repair, dia dah takde lock yang kuat, maka, janganlah main tinggal je masa blender tu sedang berfungsi. Kena pegang bekas blender tu sebab kalau dibiarkan macam tu, takut nanti dia bergegar dan dibimbangi bekas tu akan terkeluar dari putaran. Boleh fahamkan apa maksud aku? Ni sekadar untuk peringatan kita bersama.


Terima kasih banyak-banyak pada Pak Sugiarto atas perkongsian video yang bermanfaát ini. Moga Allah murahkan rezeki yang luas buat bapak dan seisi keluarga. Aamiin.


p/s: Terus aku subscribe channel youtube beliau.😁😁😁 Yang baik, kita follow aje. Tak gitu?
.
Next Post Previous Post Home

Renungan bersama...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki mahupun wanita, sebahagian daripada mereka adalah penolong dari sebahagian yang lain. Mereka menyuruh amal ma'aruf (kebajikan), mencegah kemungkaran, menegakkan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah berserta RasulNya, nescaya Allah melimpahkan rahmat kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Bijaksana."- (At-Taubah: Ayat 71)