Ayatul Kursi..


ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) - al-Baqarah: Ayat 255

Search This Blog

Friday, September 30, 2016

DIY: Pasang sendiri para/rak untuk novel/buku.

Assalamu'alaikum.

DIY: Pasang sendiri para/rak untuk novel/buku.


Alhamdulillah. Akhirnya dapat jugak aku realisasikan impian aku untuk buat satu para/rak ringkas kat dinding tepi katil bagi meletakkan novel dan bahan bacaan aku. 


Dah lama sangat dah aku nak ada para untuk letak novel dan buku aku kat tepi dinding bersebelahan katil. Bukan apa, aku ni suka membaca sambil baring. Jika letak bahan bacaan atas katil, memang sempit la jadinya katil bujang tu. Tu yang aku nak sangat ada para tu. Senang sikit nak capai. Takde la nak kena bangun dan buka almari buku.


Entah macam mana, tiba-tiba je malam ni aku dapat idea untuk pasang sendiri para tu. Kebetulan, benda bentuk L tu (aku tak tau apa nama dia, haha), ada stok lagi dua pasang. Mula-mula aku nak letakkan yang saiz besar tapi disebabkan saiznya yang besar, tak boleh la pasang kat sebelah katil. Mujurlah ada yang bersaiz kecil. Akupun apa lagi, terus je mulakan operasi DIY ni. Punya la bersemangat! Haha.


 Nampak tak lubang yang ada anak panah tu? Ada hikmahnya tukang buat rumah buat macam tu. Haha. Aku selotepkan papan tu sampai ke bawah supaya papan tu tak bergerak dan jatuh.



 Disebabkan paku tu kecil dan takut paku tu tak kuat dan menyebabkan para/rak tu jatuh, aku sumbatkan batang ais krim ke dalam lubang tu. Anak siapa la yang bijak sangat ni haaa... Hehe. (gurau je..)






Okay, dah siap dah para DIY aku ni. Boleh selit letak sekali bahan kudapan aku. Hehe.






p/s: Terima kasih Allah yang memberikan ilham. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Wednesday, September 28, 2016

Marilah kita menyembur!

Assalamu'alaikum.

Marilah kita menyembur!


Bab sembur-menyembur ni, ramai yang suka, kan? Asal jangan tersalah sembur atau sembur ikut suka hati kita, dah la. Ke lain jadinya nanti. Heh.


Penyembur ni,  kakak aku yang bagi. Dah lama dah dia bagi tapi baru kelmarin aku gunakan. Mula-mula tu terkial-kial jugak nak pasang. Maklum la, pertama kali dapat pegang benda ni. Sangat ketinggalan. Haha. Eh, aku pernah je tengok orang guna benda ni tapi kat dalam tv la. Hehe.





Kakak aku kata; "nanti senang kau nak sembur baja air kat pokok orkid kau tu." Mula-mula nak gunakan botol yang 2L tu tapi tutup penyembur ni tak ngam pulak dengan lubang botol 2L tu. Sudahnya, gunakan aje la botol 1.5L ni.





Dan akupun terimalah penyembur ini dengan senang hati. Hehehe. Terima kasih dear sister. Aku dah mula gunakan dah. Mula-mula tu tak tau nak guna macam mana. Puas jugak la dok tekan itu, tekan ini. Lepas tu baru la tau. Teruk betul! Ahahaha.




p/s: Pastikan semburan itu tepat pada sasaran yang sebenarnya. Heh.

Saturday, September 24, 2016

Tinggalkan aje la. Tak rugipun jika tinggalkan 'dia'.

Assalamu'alaikum.

Tinggalkan aje la. Tak rugipun jika tinggalkan 'dia'.


Zaman dulu, orang mengumpat guna mulut tapi zaman sekarang ni, orang mengumpat dekat grup whatsapp. Lagi banyak isu panas, lagi ramai yang suka melepak kat grup tu. Ishhh. Ishhh. Ishhh. 


Kau ingat Allah tak nampak apa yang kau buat? Kau ingat malaikat tak catit apa yang kau dok umpatkan? 





Kau buatlah grup rahsia macam mana sekalipun, Allah tetap nampak apa yang kau buat dan malaikat tetap catit semua perbuatan kau tu. Sebelum penyakit suka mengumpat ini menjadi semakin teruk, baiklah kau leave aje mana-mana grup yang takde faedah tu. 


Orang kata, jika kita tak mahu terjebak dengan perkara yang tak baik, eloklah kita jauhkan diri kita sedari awal lagi. Sebabnya, jika kita dah terjebak, memang agak susah untuk kita mengundurkan diri. Jalan terbaik, tinggalkan aje semua tu.


p/s: Mujurlah aku takde WhatsApp. Kalau tak, terasa sentap jugak dengan ayat-ayat kat gambar tu. Tak kisah la orang nak kata aku ketinggalan zaman sekalipun. Yang penting, hidup aku aman damai dan tenang. Heh.

Thursday, September 22, 2016

Masak lemak cili padi ikan siakap berencahkan bendi.

Assalamu'alaikum.

Masak lemak cili padi ikan siakap berencahkan bendi.


Hari ni masak sempoi je. Ala, selalupun masak sempoi jugak, kan? Ahahaha.




Ikan siakap tu, macam biasa, beli punya. Tak rajin pulak aku nak membelanya. Haha. Cili padi dan kelapa tu dari pokok sendiri dan  bendi tu jiran sebelah rumah yang bagi. Dia nak bagi banyak tapi aku ambil empat biji je. Jadi la. Aku sorang je pun yang makan sayur bendi ni. Apapun, terima kasih Kak Long!




Senang je nak buat masak lemak cili padi ni. Janji cili padi dah siap blender. So, tinggal lagi nak ceduk masuk periuk je. Kalau ada santan dalam kotak tu, lagi la senang kerja. Masapun dapat dijimatkan sebab tak perlu nak perah kelapa parut untuk dapatkan santan tu.


p/s: Kalau kita fikir susah nak buat masak lemak cili padi ni, maka susah la jawabnya. Cuba buat dulu dan rasa hasilnya. Pasti nak buat lagi di lain kali.

Wednesday, September 21, 2016

Patut la berat semacam je!

Assalamu'alaikum.

Patutlah berat semacam je!


Ni kisah petang semalam. Masa tu aku tengah dok ralit siram pokok bunga kat laman depan. Tiba-tiba je getah paip tu tak boleh nak tarik. Dia macam berat je. Dah kenapa pulak ni?


Rupa-rupanya.............. Jeng! Jeng! Jeng! Suspen ni. Silalah tarik nafas panjang-panjang. Haha.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Ooooooo....... Kau punya kerja ya Tot! Patut la tak bergerak getah tu! Cuit-cuitpun tak nak berganjak. Cait!


Tot? Apa tu? Ha, ni la dia si Tot tu. Nama panjang dia Kontot. Nama manja dia, Tot. Cute tak nama dia? Ahahahaha.






Dah kenapa letak nama dia Kontot? Sebab ekor dia kontot. Ahahaha. Kontot ni betina dan manja ya amat. Suka meleser. 


p/s: Sesekali meleser takpe. Kalau selalu meleser, rimas jugak dibuatnya. Heh.

Monday, September 19, 2016

Jom buat makarami atau macrame.

Assalamu'alaikum.

Jom buat makarami atau macrame.


Dalam banyak-banyak makarami atau macrame yang aku buat masa zaman lepas sekolah dulu, hanya tinggal satu ni je lagi. Inipun tali dia ada yang dah putus. Sayang pulak aku nak guna. Maka, aku simpan sebagai kenangan. Rasanya lebih dari sepuluh makarami yang aku buat dari pelbagai warna tali.


 Contoh makarami/macrame yang aku buat masa zaman remaja belia dulu.


 Bahagian kepala ni yang agak rumit sikit sebab kena ikat dan tambat kuat-kuat.


 Ni peten Square Knots. Kena jalin selang seli. Sekali jalin sebelah kiri, lepas tu jalin sebelah kanan pulak.


 Ni pulak peten Spiral Knots. Dia kena jalin ikut satu arah je. Nanti dengan sendirinya dia akan jadi berbelit macam tu.


Ni bahagian bawah untuk kita letakkan pasu atau bekas. Ikut kita la nak letak apapun dalam bekas tu.


Dulu, aku belajar buat makarami yang peten jenis Square Knots dengan yang Spiral Knots je. Yang Half Hitch Knots tu aku tak belajarpun. Lama sungguh tak buat makarami atau macrame ni. Dulu belajar buat dengan orang Jepun yang jadi sukarelawan kat sini. Belajar masa lepas habis SPM. Masa tu jadi Belia 4B. Join la mana-mana aktiviti yang ada. Sekarang ni, dah tak rajin nak join. Dok lepak kat rumah je.


Jom tengok cara asas nak jalin tali untuk jadikan makarami atau macrame.




p/s: Siapa rajin buat dan banyak masa lapang, boleh la buat untuk dijual. Harga tu akupun tak tau la berapa nak letak. Pandai-pandai sendiri la ya letak harga. 

Janam. Janam. Janam.

Assalamu'alaikum.

Janam. Janam. Janam.


Iya la tu. Janam. Janam. Janam  la sangat, kan. Ni bukan janam  lagi dah. Ni namanya dah jahanam! 


Apa yang ko buat ni yang oii....!! Habis rosak pokok kaktus comel aku tu. Bukan rosak je. Dah mati dahpun pokok kaktus ni dikerjakan dek geng bulus ni. Aku sempat selamatkan dua pasu je. Masa kat sini, punya la comel kiut miut pokok kaktus tu. 


Tapi sekarang? Apa dah jadi? Tengoklah sendiri ya. Huhuhu.


 Mula-mula, kita melangkah dengan penuh bergaya! 


 Lepas tu, kita panjat la sikit. 


 Ehh! Ehh! Tergelincir la pulak! 


 Pheeww! Nasib baik sempat berpaut pada tebing pasu. Hahaha. 


Alhamdulillah. Berjaya mendarat dengan sempurna. Perfecto!


Takpe la nak. Ko buat aje la apa yang ko suka. Tak larat dah nak kawal korang punya perangai. Huhuhu.


p/s: Semakin besar, semakin nakal. Tapi aku suka je buli dorang. Ahahaha.

Saturday, September 17, 2016

Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya...

Assalamu'alaikum.

Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya...


Alhamdulillah. Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya hari ni aku dapat menghadirkan diri ke majlis kenduri kawen anak jiran yang rumahnya terletak di hujung sana. Alhamdulillah jugak sebab ada orang yang sudi menumpangkan aku naik kereta dia. Penuh la tempat duduk belakang tu tapi disebabkan rumah kenduri tu takde la jauh mana, takpe la bersempit sekejap. Mujurlah badan dah susut sikit. Takde la bontot tu kembang sangat. Heh.




Makanan banyak dan nampak begitu menyelerakan. Nak makan semua jenis makanan tu, memang tak mampu la nak buat. Aku cuma ambil sedikit nasi minyak, dua ketul lauk kari daging dan sedikit lauk nenas masak air dan buah tembikai. Air aku cuma ambil air kosong je. Lepas makan nasi, makan pulak bubur pulut hitam yang masih lagi panas. Cicah pulak dengan kuih bahulu yang diletakkan dalam botol di atas meja. 




Seronok dapat bunga telur sebab aku suka jika kenduri kawen ni, tuan rumah bagi bunga telur sebagai doorgift. Sekarang ni agak susah nak jumpa orang bagi bunga telur masa kenduri kawen sebab dorang lebih suka bagi goodies yang berisi makanan ringan.


p/s: Alhamdulillah. Rezeki untuk hari ini. Moga Allah memberkati segala-galanya. Aamiin.

Friday, September 16, 2016

Buat apa yang kita suka.

Assalamu'alaikum.

Buat apa yang kita suka.


Ada ketikanya, kita tak tau nak buat apa tatkala dilanda kebosanan. Namun begitu, kita masih boleh cuba cari jalan untuk mengurangkan tahap kebosanan kita itu. Terpulanglah pada kita nak buat apa tapi janganlah sampai memudaratkan diri sendiri atau mengganggu ketenteraman pihak lain.


Macam aku semalam. Memang bosan sungguh! Nak tengok tv, takde mood. Nak baca novel, mood jatuh merudum. Nak menjahit, kaki belum berapa kuat. Nak makan je, ehh, kang makin menjadi-jadi pulak badan ni. Haha. 


Sudahnya, akupun berkebun la sekejap. Dapat juga keluarkan peluh. Dapat juga gunakan masa dengan sewajarnya. Badanpun jadi segar. Alhamdulillah.






Pokok kuini ni dah lama aku semai dalam botol minyak masak tu. Disebabkan aku nak kemas kawasan sini, maka akupun ubah la pokok kuini tu dan masukkan ke dalam polybag. Kebetulan, tanah hitam masih ada lagi satu guni. Lepas tu, aku kepung anak-anak pokok cili padi aku tu dengan bata yang ada. Takde la nanti tanah kat pangkal pokok cili tu dikais dek ayam.






Okay. Dah siap dah berkebun sampai kukupun jadi hitam. Takpe la kuku hitampun. Nanti boleh cuci bagi bersih. Asalkan hati jangan hitam, dah la. Takut woo kalau hati jadi hitam ni. Na'uzubillah! 


Dan, aku juga buat header baru untuk blog aku. Dah lama jugak aku tak buat kerja-kerja mengedit header ni. Tak tau kenapa tiba-tiba jadi rajin pulak. Haha. Aku gunakan khidmat percuma dari Photoscape.  Ni header terkini. Kalau aku rajin, aku buat lagi header yang baru. Hehe.





p/s: Marilah kita hiburkan hati dan jiwa kita dengan aktiviti yang sihat. 

Wednesday, September 14, 2016

Merawat 'hanger' yang 'tercedera'.

Assalamu'alaikum.

Merawat 'hanger' yang 'tercedera'.


Aku memang jenis orang yang sangat 'berkira' untuk membeli sesuatu barang. Pada aku, selagi barang itu boleh diselamatkan, aku akan cuba untuk menyelamatkannya. Andaikata aku berjaya dalam misi menyelamat, maka selamat jugalah duit aku. Tak bijak ke namanya tu? Kehkehkeh.


Kali ni, misi aku adalah untuk menyelamatkan sebatang 'hanger' ni. Ala, tulis je penyangkut baju. Haha. Bahan yang aku perlukan hanyalah sebatang batang aiskrim, selotep dan sudah tentulah penyangkut baju yang cedera tadi. 


Dah, meh la tengok gambar. Lepas tu, fikirlah sendiri samada wajar atau tidak apa yang aku buat ni. 







Okay, dah siap dah. Dah boleh gunakan untuk sangkut sehelai baju yang tidak berat. 


 ^
Pandangan dari hadapan dan belakang.
v


p/s: Bukan kedekut tapi Allah dah bagi kita akal, maka berfikirlah dengan sewajarnya. Pilihan ada di tangan kita samada nak DIY, nak buang atau nak beli yang baru dan aku pilih untuk DIY. 

Tuesday, September 13, 2016

Rendang aidil adha 2016.

Assalamu'alaikum.

Rendang aidil adha 2016.

Salam aidil adha untuk semua. Pada mereka yang mengerjakan ibadah haji dan ibadah qurban, moga Allah memberkati segala ibadah anda. Aamiin.




Tahun ni aku takde rezeki nak mengerjakan ibadah qurban seperti tahun sebelumnya. Biasanya, jika aku buat ibadah qurban ni, aku cuma ambil satu bahagian sahaja. Itu sahaja yang aku mampu. Alhamdulillah. Cuma tahun ni rezeki aku takde untuk ke arah itu. Takpe la. Moga Allah panjangkan usia dan Allah murahkan rezeki di hari mendatang. Aamiin.




Aku hanya mampu untuk buat rendang daging ni sahaja. Inipun aku gunakan daging lembu import atau dalam istilah orang kita ia disebut sebagai daging beku. Tak kisah la daging import ke, apa ke, yang penting halal. Harga daging lembu tempatan semakin hari semakin mahal. Entah bila la mampu nak buat qurban sekor lembu. 


p/s: Aku namakan rendang ni dengan nama rendang daging Cik Azz. Boleh gitu? Heh.

Saturday, September 10, 2016

Masak lemak cili padi ayam berencahkan pucuk ubi kayu.

Assalamu'alaikum.

Masak lemak cili padi ayam berencahkan pucuk ubi kayu.


Korang dah siap masak dah ke? Aku baru je siap masak untuk tengahari ni. Aku masak sempoi je. Aku buat masak lemak cili padi ayam yang berencahkan pucuk ubi kayu. Sempoi, kan? Tu la, aku cakap sempoi, korang tak percaya. Haha.



Alhamdulillah, sekarang pokok ubi kayu tu dah besar dah. Dah tinggi menggalah. Dah boleh petik dah hasilnya. Sebelum ni kalau nak masak pucuk ubi kayu, aku selalu minta kat jiran tu. Tapi kalau aku tak mintapun, jiran aku tu rajin je offer pucuk ubi kat rumah dia tu. Dah merimbun, baik dia sedekah je kat jiran berdekatan. Pahalapun dapat, kan?




Dan inilah hasilnya masak lemak ayam yang berencahkan pucuk ubi kayu aku tu. Cukuplah satu jenis lauk je. Masak banyak-banyak jenis lauk nanti membazir pula. Akukan memang jenis yang tak suka membazir makanan. Sila ikut sikap mulia aku ni, ya. Heh.




Biasanya aku masak lemak ayam ni berencahkan kentang. Cuma kali ni aku ubah resepi biasa aku tu. Lagipun pucuk ubi kayu ni percuma, tak payah beli. Petik je kat belakang rumah tu haa. Jimat weiii.. Ahahaha.




p/s: Dah siap masak, boleh la sambung baca novel balik semula. Hehehe.

Friday, September 9, 2016

Kemas kini apa yang patut. Heh.

Assalamu'alaikum.

Kemas kini apa yang patut. Heh.


Dah agak lama kawasan ni terbiar. Mujurlah tak jadi hutan belantara. Hehe. Memandangkan aku dah boleh buat kerja sikit-sikit, maka akupun ambil keputusan untuk kemas kini apa yang patut kat tempat ni. Jika lama dibiarkan tak berkemas, takut pulak nanti jari sarang si panjang tu. Ngeri weii.. 


Tempat ni tanah dia lembut dan peroi sebab mak aku tambak dengan tanah hitam. Jadinya, jika nak cangkul ataupun cabut rumput yang tumbuh, takde la susah nak buat. Tambahan sekarang ni hari asyik hujan je, lagi la mudah nak buat kerja. Cuaca pula mendung dan anginpun sepoi-sepoi bahasa je. Aman dan tenang rasa jiwa. Alhamdulillah.


Dah, meh la tengok gambar yang ada ni. Akukan memang suka kongsi gambar pokok dan gambar kucing kat blog aku ni. Nak kongsi gambaq sendiri, malu aihh. Ceq bukan artis naaa.. Heh.




 Dekat perdu pokok rambutanpun pokok cili ni tumbuh jugak.


 ^

Ni pokok cili kering. Hari tu aku longgokkan biji cili kering tu kat sini. Banyak yang bercambah tapi masa tu aku tak sihat, maka banyak juga yang mati kering. Mana yang hidup ni aku ubah masuk dalam pasu lain dan masuk dalam polybag.

v

Pokok cili padi ni pun tumbuh. Alih-alih aku tengok pokok dia dah besar dah kat dalam pasu ni. Akupun bela je la. Rezeki jangan dibiarkan berlalu begitu saja, kan? Hehe.


 Tengok. Banyakkan anak pokok cili padi yang tumbuh kat atas tanah tu? Ada yang dah gemuk dah. Alhamdulillah. Biarkan je kat situ. Tak payah ubah-ubah. Kang kalau ubah, takut dia merajuk pulak. Haha.


 Ini pokok pisang hiasan. Bukan pokok pisang yang boleh makan tu. Saja la aku tanam untuk redupkan kawasan rumah orkid aku tu.


 Ni la satu-satunya pokok kari yang ada kat rumah aku ni. Lama dah aku tanam tapi batang dia alahai, kurus kedengking. Hehe. Takpe la haiih. Asalkan daun dia ada, dah memadai dah. Tak payah nak pergi beli kat pasar.




Okay, dah siap kemas dan tajak rumput dah. Tapi belum siap angkut lagi rumput dan segala sampah tu. Ingat nak biar kering dulu sebab senang nak bakar. 



 Haaa.. Lepas tajak rumput, barulah nampak jelas anak-anak pokok cili tu. 




Kebanyakannya pokok cili je dan banyak pokok cili padi yang tumbuh kat atas tanah tu sebab ada buah cili yang dah masak tu aku tak petik. Maka, apabila buah cili tu gugur ke tanah, ikut suka dia la nak tumbuh ke, apa ke. Kalau tumbuh, alhamdulillah, aku biarkan je kat situ. Tak payah dah nak ubah-ubah masuk dalam pasu ke atau tanam tempat lain. Rezeki juga tu, kan?


Dan ini adalah antara penonton yang sibuk je jadi tukang tengok dan tukang kacau apa yang aku buat. Bukannya nak tolong. Haha.




Tips nak bagi pokok cili hidup lama.

-> Jika nampak akar pokok cili tu dah terkeluar atas tanah, hendaklah ambil tanah lain dan tutup akar tu. Ataupun, boleh juga tutup akar tu dengan sabut ataupun rumput mesin yang dah kering. Nak tutup dengan daun serai yang dah dipotong-potongpun boleh. Yang penting, akar pokok cili tu tidak terdedah kepada cahaya matahari yang terik.


p/s: Alhamdulillah. Syukur selalu.

Next Post Previous Post Home

Renungan bersama...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki mahupun wanita, sebahagian daripada mereka adalah penolong dari sebahagian yang lain. Mereka menyuruh amal ma'aruf (kebajikan), mencegah kemungkaran, menegakkan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah berserta RasulNya, nescaya Allah melimpahkan rahmat kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Bijaksana."- (At-Taubah: Ayat 71)

Cik Azz's bookshelf: read

Menantu Pilihan Bapak
Saat Hilang Cintamu
Bahagia Kasihmu
Bawah Pohon Sena
Kalaulah Aku Tahu
The Unsung Hero
Maaf Jika Aku Tak Sempurna
Lamaran Untuk Teman Hati
Tersuka Tanpa Sengaja
Kerana Satu Janji
Sorry, Aku Bukan Dia!
Encik Sayang Dan Miss Sweetheart
AKU BUKAN TOUCH & GO
Bahasa Hati Kita
Temu Duga Cinta
Akadku Yang Terakhir
Menantu vs Mentua
Kerana Aya Sofya
Di Sisimu Aku
Mungkinkah


Cik Azz's favorite books »